Tuesday, February 5, 2008

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. �V
al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu
hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam
kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur'an dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama orang kafir seperti sambutan Tahun Baru
Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongan
tersebut. Sabdanya:

Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas.

Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh
menyebabkan pelakunya kafir. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). �V al-Israa' :
32

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam dan hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya orang kafir ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari menguar-uarkan sambutan Hari Valentine ini kepada rakyat di sebuah negara Islam seperti Malaysia ini malah ianya sepatutnya dipergunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

KESIMPULAN

Justeru itu dapat kita rumuskan bahawa sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia ini menyambut Hari Valentine adalah semata-mata bertujuan untuk meniru budaya hedonis yang diimport dari barat. Menurut mereka budaya barat yang sedemikian rupa mencerminkan corak hidup terkini dan paling sesuai pada zaman yang serba moden.

Mereka yang terkebelakang dalam meniru corak hidup barat ini dianggap jumud serta ketinggalan zaman. Maka kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut untuk
mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh mereka, mewarnakan rambut mereka berwarna perang, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.

Bagi mereka dengan mengamalkan cara hidup sedemikian rupa mereka telah berjaya meniru satu kaum yang dianggap serba maju. Sedarlah wahai pemuda-pemudi Melayu, walau sehebat mana kamu meniru gaya hidup barat, mereka tetap melihat kamu sebagai orang Asia yang datang dari dunia ke 3 yang rendah martabatnya berbanding dengan mereka.

Mereka tidak akan melihat kamu sekalian sebagai setaraf dengan mereka walaupun
kamu bersungguh-sunguh ingin mencontohi cara hidup mereka. Oleh itu hendaklah bangsa Melayu berbangga dengan apa yang telah ada pada agama serta adat resam
bangsa mereka dan janganlah kita terlalu dikelabui dengan kehidupan duniawi yang berkiblatkan barat seperti sambutan Hari Valentine ini. Firman Allah S.W.T.:

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal." �V Surah al-Ghaafir: 39

No comments: